Bismillah...
Setiap orang mempunyai rasa dan jiwa yang berbeza. Manusia ini, Allah jadikan begitu unik, ada yang sensitif, ada yang kurang sensitif, ada yang mudah terharu dan kasihan, ada pula yang enggan ambil peduli. Namun, setiap manusia mempunyai bahagian hati yang lembut.
Sesetengah daripada kita mudah tersentuh hati apabila melihat kezaliman dan kejahatan yang berlaku. Ada pula yang hanya mampu mengeluarkan air mata apabila berada dalam situasi yang panik dan menakutkan seperti rompakan dan sebagainya. Ada juga yang mengalirkan air mata tidak semena-mena tatkala ditinggalkan kekasih!
Begitulah, sudut hati manusia ada bahagian tertentu yang lembut dan sensitif. Maka di situlah letaknya pemangkin tangis anda. Alangkah baiknya kalau kita dapat mengumpulkan pemangkin-pemangkin tangis itu bersama dan kita salurkan ia ke jalan taubat dengan menangisi segala dosa-dosa kita di hadapan Allah...
Katakan kita sedang menghadapi masalah dalam kehidupan. Kita merasa kecewa, murung, sedih dan mudah mengalirkan air mata. Ketahuilah, kalau kita salurkan rasa tangis kita itu dengan mengadu kepada Allah, meminta pertolongan daripada-Nya, pasti tangisan itu lebih bermakna. Bagaimana tidak, yang mendengar aduan kita itu adalah Yang Maha Mendengar. Yang kita minta pertolongan itu adalah Yang Maha Menolong hamba-hamba-Nya. Pada saat itu, hati yang luka, mata yang bengkak, jiwa yang terseksa tidak lagi terasa kerana kita sedang bercakap dengan-Nya, bermunajat ke hadrat-Nya. Terasa kelembutan kasih sayang Allah yang tak berbelah bahagi, tak pernah surut walau sebanyak manapun kasih yang Allah hamparkan kepada hamba-hamba-Nya yang tak pernah sunyi membuat dosa!
Carilah pemangkin tangis anda. Mungkin anda akan jumpa pada ayat-ayat Qur'an, pada kata-kata hikmah, pada sunnah-sunnah Rasulullah, pada zikir-zikir munajat, pada lirik-lirik nasyid bahkan pada semua ciptaan Allah. Apabila telah ketemu, jangan lupa bisikkan kalimat-kalimat cinta itu kepada Kekasih Agung kita ya!
Selamat Mencari pemangkin tangis anda!
No comments:
Post a Comment